Tuesday, February 06, 2007

MEMAHAMI TURKI DARI DALAM (excerpts frm forwarded email)

Artikel ini aku petik (cut & paste) dari forwarded emails from kwn2 yg prihatin. Menarik & very mind-opening. Have a pleasant read!

AYAM TURKI, BELANDA DAN ROM

"Anta perasan tak apa nama ayam ni dalam Bahasa Arab?", saya bertanya kepada Yusran, teman serumah.

"Hmm, Dik Roomi, kan? Ayam Rom", jawabnya.

"Ok, nama ayam ni dalam Bahasa Inggeris?", saya meneruskan pertanyaan.

"Turkey!", kata Yusran lagi.

"Haha, apa pula namanya dalam Bahasa Melayu?", saya menyambung lagi soalan.

"Ayam Belanda!", Yusran sudah mula ketawa. Dia mula memahami maksud soalan saya.

"Hah, orang Melayu panggil ayam Belanda, orang Arab panggil ayam Rom dan orang Barat panggil ayam Turki. Apa maknanya tu?", saya cuba menyimpulkan soalan itu tadi.

Yusran tersenyum. Dia memang kurang bercakap. Tetapi senyumannya itu bermaksud yang dia sudah dapat menangkap maksud pertanyaan saya.

Memang benar, ada seekor ayam ini, dinamakan dengan nama musuh. Orang Melayu memerangi orang Belanda. Maka apabila mereka makan ayam ini, agaknya mereka bayangkan yang mereka sedang melapah musuh. Barat pun sama juga. Ketika mereka memotong-motong dada, kepak, dan peha ayam ini, mungkin mereka membayangkan betapa lazatnya kalau Turki itu dapat disembelih seperti ini. Orang Arab di Syam pula membenci kuasa Rom.

Wah, elok satu dunia namakan ayam ini sekarang ayam Amerika. Biar berselera sikit kita memanggangnya!

KELUHAN

"Kenapalah mereka menulis seperti ini?", saya mengeluh.

Pagi ini saya membaca satu artikel di dada akhbar tentang Turki. Buruk benar Turki pada pengamatan penulis itu. "Sudah tidak ada lagi Islam di sana", katanya.

Minggu lepas di sebuah majalah pun, ada ditulis mengenai Turki. Kalau berdasarkan cara penulisan penulis tersebut, dia mengulas tentang Turki dari jauh. Mujurlah artikel itu berbahasa Melayu. Jika dibaca oleh orang Turki, nescaya mereka akan berkecil hati. Seolah-olah tiada lagi kebaikan pada sebuah negara dan rakyat bernama Turki.

Akan tetapi adakalanya ulasan-ulasan yang dibuat, sama ada berbentuk tulisan mahupun ucapan dan siri ceramah, tidak seimbang dan memberikan gambaran yang salah oleh masyarakat terhadap umat Islam di Turki. Saya pernah mendengar ceramah yang disampaikan oleh seorang tokoh, dan di dalam ceramah tersebut beliau menggambarkan betapa kebangkitan Islam di Turki sedang rancak berkembang tetapi masih belum sampai ke tahap yang ada di negara kita. Dakwaan itu dibuat berdasarkan kenyataan bahawa di dalam ucapan-ucapan pemimpin Parti Refah (ketika itu), ia disambut dengan tepukan tangan dan bukannya dengan laungan takbir Allahu Akbar sebagaimana yang masyhur di kalangan kita.

Apakah itu cara beliau menilai kualiti Islam penganutnya? Saya tidak berhasrat untuk mempertahankan sama ada Malaysia lebih baik atau Turki lebih baik, tetapi perbandingan seumpama itu tidak menyumbang kepada apa-apa kebaikan. Ia hanya suatu bacaan politik yang memalukan.

Ulasan-ulasan yang dibuat tentang krisis tudung di Turki juga dibuat secara songsang. Setiap yang membacanya akan tergambar betapa jahatnya umat Islam di Turki dan betapa lemahnya Islam yang ada di kalangan mereka sehingga benda asas yang bebas dilakukan di negara-negara Eropah itu, dihalang sedemikian rupa di Turki.

TURKI PERLU DILIHAT DARI DALAM

Apa yang diterakan di dalam penulisan-penulisan seumpama itu, dari beberapa sudut ada kebenarannya. Tetapi Turki adalah sebuah negara yang menghadapi krisis identiti yang kronik. Situasi di Turki amat sukar untuk difahami oleh kita melainkan kita cuba untuk melihatnya dari dalam. Apa yang sering digambarkan tentang Turki adalah negara itu membiarkan majalah-majalah lucah dijual secara bebas di kaki-kaki lima, pantai bogel di Izmir yang memalukan, keruntuhan sosial sehingga bercumbu-cumbuan di taman menjadi perkara biasa dan sebagainya. Lantas tergambarlah di fikiran kebanyakan kita bahawa majalah lucah adalah sebahagian budaya umat Islam di sana, pergaulan bebas diterima pakai sebagai sebahagian cara hidup, dan pusat-pusat pelancongan adalah kawasan jelek yang diredhai kewujudannya oleh umat Islam di bumi yang pernah menjadi pusat ketamadunan Islam itu.

Namun, kita perlu memberikan kata kunci kepada persoalan ini agar persepsi kita adil dan tidak melukakan hati umat Islam yang gigih berjuang di sana. Misalnya tentang tudung, kita tidak harus lupa bahawa di Maghribi (Morocco)dan Tunisia, hasrat para mukminat untuk bertudung juga menghadapi penentangan yang besar, bahkan dalam banyak keadaan, jauh lebih serius daripada apa yang dilihat di Turki. Kalau di Turki, pemakaian tudung dihalang di pusat-pusat pengajian dan institusi rasmi negara, tetapi di Tunisia, pemakaian tudung turut menghadapi tribulasi di jalan-jalan raya dan tempat awam. Tidak lama dulu, seorang wanita bertudung yang mahu melangkah naik ke tangga bas, telah direntap tudungnya oleh polis di Tunisia, tetapi kemudiannya polis itu meminta maaf kerana wanita itu rupa-rupanya pelancong dan bukannya rakyat tempatan! Begitu juga di Maghribi, suatu ketika dulu juga pernah mengalami situasi yang menyedihkan tentang pemakaian tudung.

Akan tetapi, tekanan yang dikenakan oleh pihak kerajaan dan tentera di Turki kelihatan lebih keras kerana ia disambut dengan sikap melawan rakyat. Bantahan demi bantahan, pertempuran antara wanita lembut bersemangat besi waja dengan polis dan tentera... semua itu menatijahkan suatu krisis besar-besaran yang mengejutkan dunia. Pertembungan antara Islam dan sekularisma di Turki adalah seperti bertembungnya dua keretapi yang sedang bergerak laju. Dentumannya menakutkan dan korban kontradiksinya juga menggerunkan.

Namun... perlulah difahami bahawa Turki adalah sebuah negara ganjil yang kerajaannya tidak mencerminkan identiti rakyat. Ia bukan sebuah pemerintahan yang mewakili rakyat.

BAHANA PAKEJ UMRAH

"Ya Allah, saya masa di Turki, rasa nak pengsan dibuatnya. Masakan tidak, majalah lucah bertabur di sana-sini. Penuh kelab malam di setiap lorong. Hai, susut pahala umrah saya", kata seorang pakcik ketika berbual dengan saya tentang pengalamannya melancong ke Turki selepas Umrah.

Ya, kalau kita bersiar-siar di perkarangan hotel-hotel Istanbul yang menjadi pilihan agensi pelancongan yang menaja pakej lawatan, kita akan melihat Turki yang sekular. Renungi sahaja Taksim, deretan pusat tarian gelek dan gerai majalah lucah yang seakan menjual kacang putih dan pelbagai lagi fasad yang ada. Itu Turki yang sekular. Tetapi jangan lupa kepada Draman dan Fatih di Istanbul. Jangan sepikan mata dari kesungguhan penduduk Eyup mempertahankan keIslamannya. Bahkan kalau kita keluar ke bandar-bandar seperti Konya, Diyarbakir, Aksehir hatta Erzurum, Trabzon dan Van, kita akan lihat bagaimana bandar-bandar ini seakan-akan tidak pernah mendengar tentang Ataturk atau Ismet Inonu. Tanpa sebarang undang-undang yang mewajibkan mereka untuk komited dengan peraturan Islam, suasana di sana masih elok terjaga dan ini jarang diberikan publisiti oleh media.

Di Bolvadin sendiri pun suasananya cukup baik. Walaupun ia dianggap sebagai pekan kecil (kerana jumlah penduduk Turki yang melebihi 70 juta), 65 ribu penduduk bukanlah suatu angka yang boleh diremehkan. Namun, jarang kita bertemu dengan perempuan yang tidak bertudung di jalan raya Bolvadin. Malah kalau boleh saya katakan, kebanyakan perempuan di sini berpurdah! Tetapi bukanlah seperti purdah di Malaysia. Tradisi wanita Bolvadin, macam Makcik Mukarrem ibu Fatih, mereka memakai seluar besar, dan kemudiannya tudung yang dipakai adalah berupa sehelai kain besar yang dipegang di hidung. Maknanya, yang kelihatan di wajah hanya mata, tetapi tangan kiri mereka memegang kain tudung hingga ke hidung.

Pelik, bukan? Tentu pening kita membayangkan praktikaliti amalan seperti itu. Tetapi hakikatnya, suasana di Bolvadin amat terjaga. Ia adalah satu-satunya bandar di Wilayah Ege yang diperintah oleh sebuah Parti Islam.

TIDAK PERNAH BERHENTI MELAWAN

Turki menjadi porak peranda bukanlah kerana sekularisma sudah menguasai sekalian pelusuk rakyatnya. Tetapi kegawatan yang berlaku adalah kerana semangat juang umat Islam di sana kental dan terus melawan dan melawan. Mereka bukannya bermentalitikan 'tak apalah, esok-esok berubahlah dia!' Mereka juga tidak berfikiran 'biarkanlah...bukannya depa kacau anak bini kita!'Tidak... semua itu tidak wujud di dalam pemikiran dan kesedaran umat Islam di sana.

Kesusahan yang mereka alami akibat kejatuhan nilai Lira (matawang Turki) mendorong mereka untuk lebih teliti dengan setiap perbelanjaan. Kesatuan hati membeli barangan daripada biskut hinggalah ke kereta.. dengan hanya membeli dari syarikat yang dikenalpasti Islamik, memaksa tentera mengisytiharkan lebih 100 buah syarikat sebagai 'syarikat pelampau Islam' yang mesti diboikot. Antaranya ialah syarikat Kompasan yang menjadi antara syarikat terbesar di Eropah. Begitu juga dengan empayar biskut Ulker milik Sabri Ulker yang menguasai pasaran Eropah dan Timur Tengah. Lihat sahaja pasaran kereta Proton di sana. Berapa ramai yang serta merta menukar kereta kepada Proton apabila dibayangkan bahawa ialah adalah kereta hasil usaha umat Islam pertama dan terunggul setakat ini.


SEMUA ORANG ‘SEDAR’ LAGI ‘PEDULI’

Di universiti-universiti pula, hampir tidak ada pelajar yang berideologikan fahaman 'aku tidak pedulisma'. Semua siswazah berfikir bagaimana mahu menyelamatkan negara yang sedang menuju kehancuran itu. Yang sosialis dengan cara sosialisnya, yang nasionalis perkauman dengan pandangannya, yang sekular dengan pendekatannya dan yang Islamik dengan caranya yang tersendiri.

Dalam konteks ini, kita masih ketinggalan kerana di dalam proses untuk memperbaiki dan memajukan umat, penyakit paling berbahaya dan sukar diubat di kalangan mahasiswa kita adalah penyakit 'aku tidak pedulisma' itu tadi.

Kaum wanita di Turki juga menjadi tenaga utama yang menggerakkan kesedaran di kalangan rakyat. Majalah Newsweek pernah membuat suatu liputan khas berhubung dengan gerak kerja muslimat Parti Refah yang begitu mengagumkan sehingga membawa kepada kejayaan besar parti itu di dalam pilihanraya 1995 yang lalu.

Aktiviti menghafal Al-Quran yang begitu aktif di seluruh pelusuk Turki juga harus diambil iktibar oleh kita semua. Di Istanbul sahaja ada kira-kira 100 buah sekolah tahfiz. Di seluruh negara, jumlah mereka yang menghafal Al-Quran menjangkau angka berjuta-juta dan mereka ini sangat berperanan menghidupkan masyarakat dengan kalamullah, memakmurkan masjid khususnya di bulan Ramadhan dengan tadarus secara hafalan dan sebagainya.

Walaupun sekolah Tahfiz ini sering menjadi sasaran tentera, namun ia tidak mati. Jumlah pelajar turun naik, tetapi terus bernadi.

Kesimpulannya, Turki bukanlah lambang kejayaan sekularisma menguasai umat Islam. Turki juga bukan contoh rosaknya masyarakat sehingga Islamnya dirasakan malap (apatah lagi kalau dianggap lebih malap daripada sinar yang muncul di negara kita). Tetapi Turki adalah medan tempur antara barat dan timur, antara Islam dan jahiliah, antara sekularisma dan ajaran Nabi SAW, antara tudung dan parlimen, antara segala-galanya.

Umat Islam di sana tidak pernah meletakkan senjata. Semenjak Ataturk berusaha membutakan mata rakyatnya dengan 'revolusi pembaharuan' lagi, penentangan dari golongan yang cintakan Islam tidak pernah luntur. Badiuzzaman Said An-Nursi, Adnan Menderes... penyair Necib Fazil hinggalah ke era Erbakan dan Erdogan, penentangan itu telah berterusan dan masih berterusan.

Tetapi... apa yang sedang dihadapi oleh perjuangan umat Islam di sana bukanlah hanya seorang diktator yang zalim, atau polis yang dikuda-kudakan pemerintah, juga bukan hanya isu kronisma dan nepotisma pemerintah. Apa yang sedang membentengi kebangkitan Islam di sana adalah senjata api yang didukung di belakangnya Yahudi sedunia, konspirasi barat keseluruhannya, kejatuhan Lira yang teruk, Greece yang rakus memamah sempadan-sempadan negara, krisis bangsa Kurdi yang tersepit antara kezaliman tentera Turki sekular dan sosialis Ocalan, dan 1001 satu lagi masalah yang gergasi dan maha.

PENYERTAAN KE KESATUAN EROPAH

Apabila Turki terus menerus memohon untuk menyertai European Union, adalah tidak wajar untuk kita menganggap ia sebagai kebinasaan wala’ dan bara’ umat Islam di sana, memandangkan Eropah didenifinisikan sebagai Blok Kristian.

Orang Turki sedar tentang semua itu.

Tetapi mereka mahu menyertai Kesatuan Eropah kerana inilah satu-satunya langkah yang belum dilaksanakan di Turki untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia mereka. Cara lain semua sudah dicuba. Negara umat Islam sangat pasif dan berkepentingan. Namun, Kesatuan Eropah memang dikenali dengan komitmen mereka kepada beberapa prinsip universal dan ini diharapkan boleh memberhentikan belenggu yang menghukum umat Islam di Turki.

Dengan penyertaan mereka ke Kesatuan Eropah juga, adalah diharapkan orang Turki lebih mudah untuk masuk ke Eropah dan ini penting ke arah perkembangan Islam di sana. Umat Islam di Balkan seperti Albania, Kosova, Bosnia, Bulgaria hinggalah ke Jerman, menanti-nantikan pelepasan kepada hadirnya umat Islam dari Turki ke bumi Eropah. Itulah yang diharapkan dari penyertaan mereka ke Kesatuan Eropah. Bukannya kerana mereka sudah melupakan Islam!

Lagi pun, apalah sangat yang boleh ditawarkan oleh ‘blok Islam’ atau Timur hari ini?

Kerana ini jugalah, Kesatuan Eropah masih bertolak tarik tentang keahlian Turki.

MEREKA MENGHARAPKAN DOA

1 comment:

Babyfacekiller said...

bersyukurlah kita dok kat malaysia... ;)